Kota Marudu Member of Parliament

Air Bersih Untuk Kampung Dan Sekolah Pedalaman

KOTA MARUDU (Jan 12, 2014): Aktiviti gotong-royong telah terbukti sebagai cara yang lebih berkesan bagi orang ramai bekerjasama untuk mencipta kehidupan yang lebih baik dalam komuniti mereka.

Dalam sebuah projek pembangunan sosial terkini yang dijalankan secara gotong-royong, dua organisasi serta komuniti setempat telah berganding bahu untuk menyediakan bekalan air bersih yang berterusan kepada lebih 500 kanak-kanak sekolah, guru dan penduduk kampung di pedalaman bagi meringankan beban mereka. 

Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) dan Kelab Rotary Likas Bay (Rotary) telah bekerjasama untuk membina sistem air graviti (gravity feed water system) untuk Kampung Timbang Batu Serayo dan sistem simpanan air hujan (rainwater harvesting) bagi SK Kampung Timbang Batu. Projek ini dimulakan pada tahun lepas dan siap pada bulan Disember.

Ahli Parlimen Kota Marudu merangkap Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Ongkili semasa melancarkan sistem bekalan air graviti untuk kampung dan sekolah tersebut hari ini berkata: "Kerajaan Barisan Nasional sentiasa mementingkan usaha memastikan semua rakyat Malaysia mendapat akses kepada bekalan air bersih. Namun, ini melibatkan kawasan yang luas di seluruh negara dan terdapat banyak kawasan di Sabah dan Sarawak yang sukar dilalui maka tidak semua penduduk yang mendapat liputan sistem air retikulasi.”

Sebagai contoh, 70% penduduk di daerah Kota Marudu mendapat bekalan air melalui sistem retikulasi dan selebihnya melalui kaedah lain. Kota Marudu memerlukan 18 juta liter air sehari (MLD) dan sistem yang sedia ada membekalkan kira-kira 12 MLD ke Kota Marudu serta kir-kira 15MLD ke Kudat. Keadaan di Kota Marudu dijangka bertambah baik setelah sistem di Empangan Milau beroperasi sepenuhnya untuk menyalur air kepada pengguna di Kudat.

Oleh itu, Datuk Seri Pangliam Dr Maximus Ongkili berkata, kerajaan amat menghargai bantuan dan sumbangan oleh organisasi-organisasi dan NGO yang secara ikhlas hati menjalankan projek komuniti untuk memastikan rakyat menikmati ameniti yang lebih baik, termasuk projek di Timbang Batu ini.

“Usaha ini amat berharga kerana ia amat membantu komuniti setempat menikmati kehidupan yag lebih baik. Terdapat banyak NGO yang menjalankan projek-projek komuniti sedemikian secara senyap seperti Kelab Rotary. Walaubagaimanapun, terdapat juga pihak-pihak terutama pembangkang yang melakukan ini hanya untuk memperkecilkan usaha kerajaan dan bagi tujuan politik dengan mengatakan kerajaan gagal memenuhi keperluan rakyat,” kata beliau.

Datuk Seri Panglima Dr Maximus Ongkili juga menggesa jawatankuasa kampung tersebut supaya memastikan sistem air graviti ini sentiasa diselenggara untuk memastikan paip-paip tidak tersumbat dan menjejaskan keberkesanan sistem ini.

Turut hadir adalah Adun Tandek Anita baranting, pengerusi 1 Malaysia Sarawak Advisory Council (1MSAC) Datuk Joseph Salang Gandum, Adun Batang Ai Malcolm Mussen Lamoh, YR1M ketua pegawai eksekutif Ung Su Ling and presiden Rotary Club of Likas Bay Woo Soo Poo.
Sistem bekalan air bersih bagi sekolah dan kampung itu telah dibina secara gotong-royong oleh penduduk kampung di bawah bimbingan Rotary.

Kampung Timbang Batu Serayo dan SK Kampung Timbang Batu mendapatkan air bersih mereka daripada sistem graviti yang melibatkan pembinaan empangan kecil di sungai yang terletak kira-kira dua kilometer dari kampung mereka serta pemasangan paip penghantaran dari empangan tersebut ke kampung.

Di samping itu, SK Kampung Timbang Batu juga mendapat tangki simpanan air hujan untuk kegunaan sanitasi. Di bawah projek ini, penduduk kampung dan guru-guru sekolah turut bekerjasama membina tandas baru bagi keselesaan murid-murid di sekolah tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif YR1M Cik Ung Su Ling berkata yayasan tersebut teruja untuk terlibat dalam inisiatif ini serta bekerjasama dengan sebuah organisasi tempatan yang aktif dan terkenal untuk membantu meringankan beban murid-murid dan penduduk kampung.

"Kami berbangga kerana telah dipilih oleh Rotary untuk menyediakan kemudahan asas yang penting kepada penduduk kampung dan pelajar sekolah. Kami berharap usaha kecil kami ini akan pergi jauh ke arah menjadikan kehidupan lebih selesa untuk penduduk di sini," katanya.

"Kami juga berharap projek ini akan menjadi asas ke arah masa depan yang lebih baik dan cerah terutamanya bagi pelajar SK Kampung Timbang Batu," tambahnya.

Presiden Rotary Encik Woo Soo Poo berkata, projek ini akan memberi faedah yang besar kepada penduduk kampung kerana kini mereka mempunyai bekalan air yang stabil sepanjang tahun untuk kegunaan isi rumah, tanaman dan haiwan.

"Air ini juga lebih selamat untuk digunakan, dan secara tidak langsung mengurangkan risiko penyakit-penyakit bawaan air. Ia juga dapat menjimatkan masa kerana penduduk kampung tidak perlu lagi mengangkut air dari sungai ke rumah mereka," katanya.

 

Dikeluarkan oleh Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M)
Tarikh: 12 January 2014