Kota Marudu Member of Parliament

Jelajah YaHijau Beri Pendedahan Kepentingan Amalan Hidup Hijau

KUDAT, 15 Julai (Bernama) -- Program Jelajah Yayasan Hijau Malaysia (YaHijau) merupakan platform terbaik untuk memberi pendedahan kepada masyarakat tentang kepentingan amalan hidup hijau dalam kehidupan seharian, kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Beliau berkata program itu merupakan satu pendekatan mesra rakyat oleh kerajaan dalam mewujudkan kesedaran awam dan mencetuskan perubahan minda masyarakat ke arah agenda pembangunan teknologi hijau di negara ini.

"Ini seterusnya akan menjadikan agenda hijau sebagai platform bagi perpaduan antara kaum dan agama dalam usaha memacu pertumbuhan ekonomi negara secara lestari."

"Program YaHijau merupakan inisiatif berterusan kementerian yang berperanan untuk memberi pendidikan, kesedaran dan mempromosi serta menggalakkan penyertaan masyarakat serta badan korporat tentang penggunaan aplikasi teknologi hijau dan pembudayaan amalan hidup hijau," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Jelajah YaHijau Sabah 2017 Siri Pertama di Matunggong, dekat sini hari ini.

Menurutnya, penganjuran program Jelajah YaHijau Sabah Siri Pertama di Matunggong adalah pembuka tirai jelajah itu di beberapa tempat di seluruh negeri ini.

YaHijau berperanan menggalakkan dan meningkatkan kesedaran terhadap teknologi hijau dalam amalan gaya hidup hijau agar dijadikan budaya hidup dalam kalangan rakyat Malaysia.

Ongkili berkata program jelajah YaHijau telah dilaksanakan sejak tahun lepas yang telah diadakan di lapan tempat di Sarawak iaitu Santubong, Tapah, Sebauh, Kapit, Siniawan, Tarat, Sungai Asap dan Lawas.

Pada majlis itu, Pengurus Besar Kanan (Hal Ehwal Korporat) Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Mohd Aminuddin Mohd Amin telah menyampaikan cek RM500,000 kepada Pegawai Eksekutif YaHijau, Amin Abdullah sebagai tajaan penganjuran program jelajah YaHijau di seluruh Malaysia.

-- BERNAMA

Source : bernama