Kota Marudu Member of Parliament

‘Tarif elektrik terkawal’

MENTERI Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Maximus Johnity Ongkili sebelum ini memaklumkan kerajaan membelanjakan subsidi sebanyak RM1.303 bilion untuk menampung peningkatan kos bahan api dan penjanaan bekalan elektrik kepada Semenanjung bagi tempoh Julai hingga Disember tahun ini.  Bagi tempoh sama, sebanyak RM468 juta subsidi khas dibelanja untuk tujuan sama  bagi Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Ikuti penjelasan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KETTHA), Datuk Seri Dr Zaini Ujang dan Naib Presiden (Perancangan dan Ekonomi Kawal Selia) Tenaga Nasional Bhd (TNB), Datuk Roslina Zainal pada program Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel (BNC) yang disiarkan 5 Julai lalu berhubung sejauh mana jumlah rebat Ketidakseimbangan Pelepasan Kos Bahan Api (ICPT) memberi manfaat kepada rakyat.

Seperti mana yang yang kita tahu, jumlah rebat Ketidakseimbangan Pelepasan Kos Bahan Api (ICPT) sebanyak RM1.303 bilion diterjemahkan ke dalam bentuk tarif sebanyak 2.54 sen kWj. Jadi tentu rakyat mahu tahu bagaimana mereka menerima manfaat daripadanya?

Dr Zaini: Terima kasih.  Di kesempatan ini saya ingin menjelaskan beberapa perkara berkaitan dengan tarif elektrik. Pada Jumaat (30 Jun 2017), Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili telah mengumumkan bahawa untuk bulan Julai hingga Disember 2017, tarif elektrik tidak dinaikkan, kekal pada 38.53 sen/kWj secara purata.

Selain itu, kerajaan akan memberikan rebat sebanyak RM1.303 bilion kepada pengguna di seluruh Semenanjung dan Sabah.

Sejak pengenalan satu kaedah baharu iaitu mekanisme yang dipanggil ICPT, pada Mac 2015, dan sehinggalah Disember 2017 akan datang ini,  rebat ini memberikan pulangan balik apabila kenaikan tidak berlaku, tetapi penurunan daripada apa yang telah kita tetapkan.

Jumlah rebat ini lebih daripada RM5 bilion sejak Mac 2015. Haruslah difahami bukan saja-saja kerajaan bagi rebat, bukan saja-saja Tenaga Nasional sebagai pengendali kepada sistem bekalan elektrik di Semenanjung dan sebahagian di Sabah, tetapi ada konsep atau dasar yang telah ditetapkan.

Apakah sebenarnya maksud ICPT?

Dr Zaini: Apabila kita menetapkan kaedah baharu dari segi tarif elektrik, terdapat dua tahap, satu dipanggil sebagai base tarif ataupun tarif asas. Tarif asas itu, secara purata adalah 38.53 sen/kWj, secara purata untuk di Semenanjung.

Tarif asas ini akan ditambah dengan ICPT ataupun surcaj akan dikenakan kepada pengguna sekiranya beberapa faktor yang ada dalam pengiraan tarif elektrik itu melebihi daripada apa yang sepatutnya.

Tetapi apabila kurang, kita akan bagi rebat itu balik kepada pengguna. Apa yang berlaku ialah kita hendak pastikan yang pengguna akan mendapat bekalan elektrik yang berkualiti, berterusan pada tahap harga yang tertentu dan kita beritahu apakah jangkaan-jangkaan yang akan datang, bergantung kepada pelbagai faktor.

Faktor yang paling penting sekali adalah harga bahan api sebab sebahagian besar daripada tarif ataupun sumber tenaga di Malaysia ini datang daripada arang batu dan gas. Satu peratus sahaja daripada minyak dan selebihnya daripada hidro elektrik.

Daripada jumlah 6.9 juta pengguna, berapa peratus di peringkat lokal (tempatan) yang terbabit secara langsung.

Roslina: Pengguna domestik kita di Semenanjung adalah kira-kira 6.9 juta pengguna. Daripada jumlah ini 4.4 juta pengguna tidak terlibat. Mereka sebenarnya menggunakan tenaga elektrik kurang daripada 300 kilowatt per jam. Pengguna-pengguna ini langsung tidak dikenakan apa-apa caj tambahan dan mereka tidak dikenakan apa-apa rebat ataupun surcaj daripada tahun 2008. Mereka memang tidak terlibat.

Tetapi pengguna yang lain, sekitar 2.5 juta yang akan melihat surcaj ataupun rebat dan setakat ini, seperti yang Datuk Seri telah maklumkan, 2.5 juta pelanggan kita, kebanyakannya telah menerima rebat yang banyak daripada Mac 2015.

Apabila kita membuat base tariff seperti yang dikatakan oleh Datuk Seri, kita membuat base tariff  ini untuk tiga tahun akan datang. Bila kita membuat unjuran ini, kita berdasarkan kepada apakah harga pasaran bahan api pada masa itu, kadar pertukaran wang asing dan apa infrastruktur yang diperlukan oleh sektor elektrik.

Dalam tahun 2015, unjuran harga arang batu yang kita kenakan ialah AS$87.5 dengan kadar pertukaran wang asing RM3.1/AS dolar. Sekarang ini, apa yang terjadi ialah kadar pertukaran wang asing dengan bahan api dan arang batu telah meningkat harganya. Perbezaan harga untuk arang batu ialah pada kadar hampir  RM100 atau AS$22 per tonne (setan metrik).

Kita menggunakan kira-kira 25 juta tan arang batu setahun dan dengan sebab itu, kenaikan ini tidak ada kena-mengena sebenarnya dengan operasi tenaga dan sebagainya. Itu adalah harga pasaran arang batu dan pasaran dunia dan juga kadar mata wang asing.

Di manakah duduknya kita berbanding negara lain?

Dr Zaini: Dari segi harga, di Malaysia sangat kompetitif. Agak sukar saya nak jelaskan satu per satu kerana terlalu banyak negara.  Sebagai contoh, ini adalah penggunaan  secara  purata  pada  tahun lalu, tarif di Malaysia berbanding dengan

banyak negara lain, contohnya Indonesia.

Kita tengok jiran kita, New Delhi, Bangkok dan Jakarta, Manila dan Singapura. Secara purata, untuk penggunaan 278 kilowatt/jam sebulan, kita sangat kompetitif.

Ini tidak termasuk dalam golongan yang mendapat rebat, yang mendapat rebat ini 300 (kilowatt/jam) ke bawah.

Bagi penggunaan 1,000 kilowatt/jam, macam kebanyakan kita yang menggunakan dua peti sejuk yang besar di rumah, ada lima air-cond (penyaman udara) di rumah, inilah jumlah lebih kurang yang kita ada.

Kita dapati memang dari segi tarifnya agak tinggi sebab kita mengenakan kaedah di mana kalau banyak menggunakan tenaga, ia akan masuk ke dalam band (jalur) yang lebih mahal.

Tetapi mereka ini dapat rebat yang saya sebutkan tadi.Kalau kita menggunakan elektrik dengan bilnya sekitar RM500, kita mendapat rebat kira-kira RM16 atau RM17.

Ini adalah perkara yang perlu kita tahu dalam kita menyediakan perkhidmatan elektrik yang sangat kompetitif dari segi harga, kualitinya sangat tinggi dan yang penting pengguna mendapat perlindungan (protection), terjamin dari segi kepentingan mereka. Bagi pengguna yang menggunakan elektrik ,kita anggap sebagai golongan sasaran B40 (golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah) yang utama, RM20 dan ke bawah, kerajaan akan bagi subidi, bayar semua.

Kenapa rebat ICPT sebanyak 2.54 sen/kWJ adalah lebih tinggi daripada yang sebelumnya?

Dr Zaini: ICPT ini dibuat setiap enam bulan. Semakan yang berlaku sekarang ni adalah untuk bulan Januari 2017 sehingga Jun 2017. Pada kali ini, apa yang kita lihat adalah harga bahan api telah naik dengan mendadak, satu lagi ialah kadar pertukaran wang asing telah naik pada kadar RM4.35 berbanding AS dolar.

Berdasarkan kedua-dua sebab ini dan juga sebab yang ketiga adalah harga gas asli telah meningkat sebanyak RM1.50, iaitu menunjukkan kenaikan RM280 juta.

Pada semakan sekarang yang kita adakan, berlainan dengan semakan dulu, harga bahan api yang tinggi, kadar tukaran wang dan juga kenaikan kadar gas, menyebabkan satu surcaj, iaitu bukan rebat, tapi surcaj yang lebih tinggi atas kadar 1.02 sen/kWj.

Itu adalah surcaj sebab harga bahan api telah naik dan apa yang kerajaan buat sekarang ialah kerajaan tidak ingin membebankan rakyat dan juga apa yang kerajaan lakukan ialah memberi sumbangan sebanyak RM523 juta surcaj (atau) sebanyak 1.02 sen ini tidak dilepaskan atau ditanggung oleh pelanggan-pelanggan di Semenanjung Malaysia.

Dalam pada itu juga, kerajaan telah mengambil keputusan untuk mengekalkan rebat sebanyak 1.52 sen/kWj seunit. Sekiranya rebat ini dikekalkan, sebanyak RM780 juta perlu dikekalkan oleh kerajaan.

Dengan itu, kalau dilihat 1.02 iaitu surcaj, dan rebat 1.52 sen, jadi harganya ialah 2.54 sen.

Selain daripada rebat ICPT ini, apakah bantuan lain kepada pengguna?

Dr Zaini: Kalau kita tengok, pada Mei 2016 hingga Jun, jumlah rebat yang kita bagi adalah 2.26 sen/kWj. (Pada hakikatnya) jumlah ini banyak, walaupun (kelihatan seperti) sikit. Dan ini, untuk bulan Jun ke Disember 2017, ini adalah yang paling tinggi sekali kita bagi, iaitu sebanyak 2.54 dan jumlahnya adalah sebanyak RM1.303 bilion, yang keseluruhannya sebanyak RM5.4 bilion.

Saya nak tunjukkan betapa kita pastikan yang dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu di pelbagai tempat di dunia sekarang, kita masih bertahan kerana kita ada dasar-dasar di mana tenaga dan kemudahan asas yang lain dapat kita kawal dari segi harganya, dari segi tarifnya dan sebagainya.

Ini adalah dasar kerajaan, bukannya tujuan-tujuan popular seperti PRU (pilihan raya umum) 14 atau sebagainya. Ini yang telah kita laksanakan pada 2014 lagi.

Dasar IBR (Kawal Selia Berasaskan Insentif) pada 2012, ICPT 2014. Kita telah berfikir panjang dan kita telah buat transformasi. Kenaikan harga ini bukan ditetapkan oleh TNB, oleh kerajaan. TNB adalah salah sebuah syarikat yang ada di dalam negara kita. Banyak syarikat sebenarnya. Dalam konteks Semenanjung Malaysia ini, ada syarikat yang lain

contohnya, NUR di Kulim Hi-Tech, juga fungsinya macam TNB, tetapi di dalam kawasan yang lebih terhad.

Selain daripada rebat ICPT, terdapat juga lain-lain bantuan yang kerajaan berikan kepada pengguna-pengguna elektrik. Jelaskan lagi.

Dr Zaini: Benda ni terlampau kompleks untuk kita bincangkan secara khusus, tetapi saya nak sebutkan bahawa selain daripada apa yang saya sebutkan tadi iaitu rebat RM20 ke bawah dan sebagainya, kita memberikan beberapa skim khas kepada industri dan syarikat-syarikat komersial, sektor komersial dan industri bagi membolehkan mereka melaksanakan beberapa inisiatif.

Pertama sekali ialah menggunakan elektrik pada masa bukan puncak. Sebagai contohnya pada waktu malam, ketika jana kuasa elektrik perlu dijalankan dan pengguna ketika itu tidak menggunakan banyak elektrik. Pada ketika ini, kala penggunaan secara besar-besaran di dalam industri sebagai contoh, mereka gunakan pada waktu ini, mereka akan dapat tarif yang istimewa, yang jauh lebih baik, begitu juga dengan beberapa bidang tertentu, kita memberikan special tarif (tarif istimewa).

Saya juga ingin sentuh mengenai dana penjimatan PPA (Power Purchase Agreement).

Roslina: Dana penjimatan PPA ini telah dirangka oleh kerajaan. Kerajaan ingin

memberi penjimatan supaya pelanggan kita dapat menikmati penjimatan yang diadakan kerana kerajaan telah membuat rundingan semula (renegotiation) dengan IPP Generasi Pertama.

Apa yang telah berlaku ialah apabila kerajaan membuat rundingan semula dengan IPP ini, pihak IPP telah bersetuju untuk menurunkan kadar kontrak mereka di antara 20 hingga 70 peratus. Penjimatan yang kita dapat daripada penurunan kadar ini diletakkan dalam satu dana yang kita namakan dana penjimatan PPA. Setakat ini, sehingga Ogos tahun ini, jumlah dana yang kita akan ada dalam itu adalah RM1.39 billion.

Yang paling utama, apakah dana ini mampu menampung kenaikan sekiranya ada surcaj?

Roslina: Salah satu objektif pertama dana ini adalah untuk meringankan beban rakyat jelata sekiranya terdapat sebarang surcaj yang diadakan kerana kenaikan bahan api. Dengan adanya dana ini, kerajaan dapat membantu rakyat supaya tarif elektrik tidak membebankan rakyat, dan ini telah berlaku. Sekarang ini, rebat sebanyak RM1.30 bilion telah diambil daripada dana PPA.

Satu perkara penting ialah memberi kesedaran kepada orang ramai (educate people)

Dr Zaini: Saya nak concludekan (rumuskan) bahawa, dasar kerajaan menerusi penjimatan tenaga ini pada tahun 2030 ialah mengadakan penjimatan sebanyak 15 peratus daripada tahap 2017 yang ada ini. Dan ini tidak mudah.

Maknanya kita kena tengok balik apakah peralatan- peralatan yang ada di pejabat, kilang, rumah, yang menggunakan banyak tenaga elektrik yang sebenarnya kita anggap sebagai tidak cekap, dan ini juga memberikan kesan kepada syarikat-syarikat kita.

Saya juga telah berbincang dengan pelbagai agensi seperti Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) dan lainlain bagaimana kita menggalakkan mereka memulakan inisiatif ini.

Langkah pertama adalah buat audit tenaga (energy audit). Kita kena tahu peralatan yang mana satu perlu ditukarkan, jangan tukar semua. Yang kedua, kita tukar item besar yang akan memberikan perubahan dan impak yang paling besar dan yang ketiga, kalau boleh, kita dapatkan sumber tenaga yang melalui solar panel dengan menggunakan mekanisme Net Energy Metering (NEM) dan Feed-in tariffs (FITs) (Tarif Galakan).

FITs ini dah dikenali di Malaysia. Kita dah hasilkan tenaga solar ataupun renewable energy (tenaga boleh baharu) yang lain, kita jual ke nasional grid yang di semenanjung ini, (kepada) TNBlah, pada kadar yang tertentu, sebagai contoh, RM1 untuk solar panel. Kemudian, apabila kita nak gunakan, kita beli dengan kadar tarif tadi, 38 sen, maknanya kita dah untung lebih daripada 50 sen sebagai pengeluar tenaga dan pengguna tenaga. Itulah tahap yang kita panggilkan FITs.

Kita juga ada NEM, kita hasilkan tenaga dan kita gunakan. Yang lebih baru kita jual.

Source : sinarharian