Kota Marudu Member of Parliament

PBS Sedia Hadapi Pilihan Raya - Ongkili

PENAMPANG, 10 Julai (Bernama) -- Parti Bersatu Sabah (PBS) kini memperhebatkan persiapan bagi menghadapi pilihan umum di semua kawasan pilihan rayanya, termasuk kemungkinan beberapa kerusi baharu jika kawasan pilihan raya yang ditambah diluluskan pada sidang parlimen akan datang.

Pemangku Presidennya Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata jentera parti itu di 13 kerusi negeri dan lima kerusi parlimen telah digerakkan.

"Jika kawasan-kawasan baharu itu diuluskan, kami sedia untuk menubuhkan jawatanakuasa sementara di kerusi tambahan kami," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi PBS di ibu pejabat parti itu di sini hari ini.

Untuk rekod, Dewan Negeri Sabah meluluskan pembentukan 13 kawasan negeri baharu tahun lepas dan PBS telah menyatakan hasrat kepada Barisan Nasional untuk menuntut sekurang-kurangnya enam kawasan dari jumlah itu yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya dalam langkah persempadanan semula.

Sementara itu, di mesyuarat tersebut, Majlis Tertinggi PBS menggesa Kerajaan Sabah menyemak semula perjanjian dengan Felda di Lahad Datu, juga dikenali sebagai Felda Sahabat.

Beliau berkata anggota-anggota PBS dari bahagian timur Sabah menimbulkan isu mengenai Felda Sahabat yang gagal memenuhi perjanjian untuk menyediakan penempatan bagi rakyat Sabah yang tidak bertanah, khususnya masyarakat Kadazandusun dan Murut.

-- BERNAMA

Source : bernama