Kota Marudu Member of Parliament

Sistem satu parti tidak akan berjaya - Maximus

KOTA KINABALU 9 Julai - Kepelbagaian kaum di negeri ini memerlukan sebuah kerajaan negeri yang dinamik dan bukan terdiri daripada satu parti sahaja dalam membela nasib rakyat.

Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili berkata, hasrat pemimpin Parti Warisan Sabah (Warisan) supaya sebuah parti sahaja tanpa gabungan komponen untuk mentadbir Sabah seperti yang pernah dilakukan United Sabah National Organisation (Usno), Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (Berjaya) and Parti Bersatu Sabah (PBS) suatu ketika dahulu tidak akan membuahkan hasil pada masa kini.

“Ini kerana kita hidup pelbagai kaum. Apa yang terbaik adalah gabungan parti-parti dalam satu komponen seperti yang dilakukan Barisan Nasional (BN).

“Contoh pentadbiran jelas pada BN kerana semua parti yang mewakili pelbagai kaum di Sabah ada di dalam parti itu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri PBS di sini hari ini.

 

Majlis tersebut dihadiri Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah RM Jasni; Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman dan isteri, Datin Seri Faridah Tussin serta Presiden PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Lebih 5,000 masyarakat hadir memeriahkan majlis tersebut yang bermula pada pukul 10 hingga 2 petang.

Selasa lalu, Timbalan Presiden Warisan, Darell Leiking berkata, parti itu mahu membawa semula konsep pentadbiran kerajaan negeri ditadbir oleh satu parti seperti United Sabah National Organisation (Usno), Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (Berjaya) and Parti Bersatu Sabah (PBS). - UTUSAN ONLINE


Source : utusan