Kota Marudu Member of Parliament

Pemimpin PBS Jawab Kenyataan Presiden PAKAR Berhubung Tenaga

KOTA KINABALU, 6 Julai (Bernama) -- Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Daniel Kinsik menasihatkan Presiden Parti Kerjasama Rakyat Sabah (PAKAR) Datuk Henrynus Amin supaya membetulkan faktanya sebelum bercakap mengenai isu sektor tenaga di negeri ini.

Beliau berkata kerajaan persekutuan tidak pernah berhenti dalam memperuntukkan geran bagi membangunkan sektor tenaga di Sabah dengan RM2.3 bilion telah diperuntukkan untuk meningkatkan bekalan tenaga di negeri ini dan peruntukan itu telah diagihkan bagi membiayai projek-projek sedia ada.

Kinsik mengulas kenyataan Henrynu baru-baru ini yang mendakwa bahawa pengumuman Pemangku Presiden PBS Datuk Seri Dr Maximus Ongkili untuk meningkatkan kualiti tenaga di Sabah cuma gimik pilihan raya.

Beliau berkata penjanaan tenaga di negeri ini telah bertambah baik dengan usaha dijalankan untuk mengurangkan lagi Indeks Durasi Gangguan Purata Sistem (SAIDI) daripada hampir 300 minit kepada separuh di bawah Pasukan Petugas Keberdayaharapan Bekalan - SAIDI 150 (TF150) menjelang tahun depan.

Kinsik menjelaskan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) tidak harus dipersalahkan atas kegagalan dua loji biomass di Sandakan berfungsi seperti dibangkitkan oleh Henrynus kerana projek tersebut adalah inisiatif sektor swasta.

"Ia tidak ada kaitan dengan kerajaan atau SESB. Pemilik loji biomass menghadapi masalah kewangan dalaman dan menghadapi masalah untuk mendapatkan bekalan biomass mentah," katanya.

-- BERNAMA

Source: bernama