Kota Marudu Member of Parliament

Orang Asli Menriq bantah projek empangan Sg Nenggiri

Sebuah kawasan yang dianggap tempat pemujaan Orang Asli di Kelantan bakal terjejas susulan rancangan pembinaan sebuah projek empangan.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau, dan Air, Datuk Seri Maximus Johnity Ongkili pada bulan Mac lalu mengumumkan bahawa tanah seluas 5,804ha akan tenggelam apabila empangan Sungai Nenggiri dibina.

Ini termasuk Gua Janggut, tempat yang dianggap keramat oleh suku kaum Orang Asli Menriq.

"Gua ini adalah warisan, kita telah memuja di sana selama berabad-abad, selama ribuan tahun.

"Kita ada 25 pawang yang menjaga kawasan itu," kata Sarif Jeluk kepada Malaysiakini yang mendakwa dirinya mewakili suku kaum Menriq.

Beliau juga mengingatkan kerajaan supaya tidak meneruskan projek empangan itu.

"Kami orang Menriq tidak akan membenarkan mana-mana projek di sana, ini sangat bahaya, bencana dan gempa bumi akan berlaku," katanya.

Terdapat sejumlah 200 Orang Asli Menriq, menjadikannya antara suku kaum paling kecil.

Rata-rata, mereka ini mengamalkan animisme dan menganggap Gua Janggut sebagai "pusat bumi".

Presiden Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK) Mustafa Along, yang mewakili pelbagai suku Orang Asli di negeri itu, turut berkogsi kebimbangan Sarif.

“Masyarakat Menriq bimbang sekiranya projek empangan dibangunkan di Sungai Nenggiri, tempat terakhir pemujaan mereka ini juga akan ditenggelamkan.

“Ini sekaligus menafikan hak masyarakat ini untuk mengamalkan kepercayaan tradisi yang masih dipegang sehingga kini sesuai dengan perlembagaan persekutuan,” katanya.

Source: malaysiakini