Kota Marudu Member of Parliament

Malaysia-Kazakhstan tingkat kerjasama bidang teknologi, tenaga hijau

ASTANA, Kazakhstan 12 Jun – Malaysia dan Kazakhstan hari ini memeterai perjanjian memorandum persefahaman (MoU) bagi membantu meningkatkan kerjasama dua hala dalam bidang teknologi dan tenaga hijau.

Majlis menandatangani MoU itu disempurnakan dalam Forum Tenaga Malaysia sempena penganjuran Astana Expo 2017 di sini.

Malaysia diwakili Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili manakala Kazakhstan diwakili Timbalan Menteri Tenaga, Gani Sadibekov.

Maximus berkata, Malaysia menyasarkan untuk meraih RM1 bilion melalui penyertaan negara di ekspo berkenaan melalui perdagangan, pelaburan dan kerjasama dengan Kazakhstan serta negara-negara peserta ekspo yang lain.

“Melalui MoU ini sudah pasti menarik minat dan meningkatkan kerjasama untuk mengembangkan pembangunan ekonomi dan sosial masyarakat kedua-dua negara.

“Hubungan Malaysia dan Kazakhstan telah terjalin sejak sekian lama melibatkan pengimportan produk dari negara seperti kayu, batu marmar, peralatan elektronik dan minyak kelapa sawit,” katanya selepas majlis tersebut.

Bertemakan ‘Meneroka Potensi Tenaga Dalam Pasaran ASEAN’, forum sempena penganjuran ekspo itu disertai kira-kira 150 delegasi termasuk pegawai kerajaan, tokoh korporat dan penasihat dalam bidang teknologi dan tenaga hijau.

Tambah Maximus, negara mempunyai banyak pengalaman dalam bidang teknologi hijau dan perjanjian itu sudah tentu akan membantu kedua-dua negara mencapai sasaran untuk meningkatkan kecekapan tenaga sebahagian yang diperlukan pada tahun 2050. - UTUSAN ONLINE


Source: utusan