Kota Marudu Member of Parliament

Penduduk Digesa Bersatu Ketika Daerah Kota Marudu Menjadi Pusat Ekonomi Utara Sabah

KOTA MARUDU, 15 Mei (Bernama) -- Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili menggesa penduduk di Kota Marudu untuk kekal bersatu dan menerima pembangunan ketika daerah itu dengan pesat menuju ke arah menjadi pusat ekonomi utara Sabah.

Ongkili yang juga anggota Parlimen Kota Marudu berkata potensi besar daerah itu dalam eko pelancongan dan disokong oleh kepesatan pembangunan ekonomi dan infrastruktur oleh kerajaan Barisan Nasional telah menarik pelabur untuk memanfaatkan peluang-peluang yang terdapat di daerah itu.

"Justeru, perpaduan di kalangan rakyat di Kota Marudu adalah perlu untuk mengekalkan pembangunan kerana bandar ini yang dahulunya sunyi-sepi tidak lama lagi akan sibuk dengan aktiviti perniagaan.

"Rakyat harus bersedia untuk menghadapi perubahan ini," kata beliau pada majlis sambutan Pesta Kaamatan peringkat Kota Marudu di sini semalam.

Mengenai Pesta Kaamatan atau pesta menuai, yang sinonim disambut oleh masyarakat Kadazandusun Murut di Sabah, Ongkili berkata sambutan itu tidak harus mempunyai unsur keagama ansambil menegaskan bahawa Kaamatan ialah festival kebudayaan.

"Kaamatan tidak mempunyai unsur agama dan disambut oleh penduduk suku kaum Sabah tanpa mengira agama. Jika kita mula menjadikannya sebagai acara agama, ia akan hilang kemeriahannya dan tidak lagi menjadi sambutan yang menyatupadukan rakyat.

"Ia senantiasa menjadi sambutan berbentuk kebudayaan dan tidak mengandungi unsur mana-mana agama. Kita perlu menghalang penyusupan unsur keagamaan," kata beliau.

Ongkili berkata rakyat harus mengelak daripada mengubah sambutan pesta Kaamatan menjadi sambutan agama.

-- BERNAMA

Sumber: bernama