Kota Marudu Member of Parliament

Kepelbagaian Suku Kaum, Agama Dan Budaya Bukan Halangan Perpaduan -- Musa

KOTA MARUDU, 4 Mei (Bernama) -- Kepelbagaian suku kaum, budaya dan agama yang sudah sekian lama wujud dan diwarisi bukan faktor penghalang kepada rakyat Sabah untuk bersatu padu, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman

Malah kata Musa, kesatuan dan perpaduan dalam kepelbagaian yang dikecapi rakyat Sabah itu adalah cetusan daripada sikap hormat menghormati, persefahaman serta toleransi yang tinggi yang sudah membudaya dalam kalangan penduduk negeri ini.

"...di Sabah jelas menunjukkan bahawa kita walaupun terdiri daripada pelbagai suku kaum dan agama, yang penting kita dapat bekerjasama, boleh bersatu dan lebih penting kita hormat menghormati dan  saling bantu membantu antara satu dengan lain.

Inilah cara kita di Sabah, bahawa kita sering menghormati apa juga kebudayaan, apa juga suku kaum, sama-sama kita raikan semata-mata dengan perasaan muhibbah dan kekitaan. Dengan ini, wujud keadaan yang stabil, aman dan sentosa," katanya.

Musa berkata demikian ketika berucap merasmikan Festival Budaya Rungus Sabah 2017 Anjuran Pertubuhan Rungus Bersatu Sabah di Kampung Teringai Laut di sini Khamis.

Hadir sama Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Masidi Manjun.  

 Menurut Musa dengan mewujudkan suasana stabil, aman dan sentosa di Sabah, ia  telah memberi ruang sebaik-baiknya kepada pemimpin kerajaan yang diterajui Barisan Nasional (BN) untuk merancang dan melaksanakan pelbagai aktiviti dan pembangunan untuk kepentingan rakyat.  

 Katanya beliau sebagai ketua menteri serta pemimpin-pemimpin BN yang lain akan terus turun padang menemui serta membantu menyelesaikan masalah rakyat di manapun rakyat berkenaan berada sama ada di bandar atau luar bandar,

Musa berkata  bahawa kuasa yang diberikan oleh rakyat melalui pilihan raya bukan suatu kelebihan sebaliknya sebagai amanah yang mesti digunakan untuk memenuhi dan menyempurnakan hasrat dan aspirasi rakyat terhadap kerajaan yang mereka pilih.

Pada majlis berkenaan, Musa turut mengumumkan persetujuan kerajaan negeri untuk membantu masyarakat etnik Rungus untuk mewujudkan sebuah galeri bagi kegunaan mereka.

Musa juga berkata beliau akan mempertimbangkan beberapa permintaan rakyat termasuk masalah pemilikan tanah di Matunggong demi kebaikan rakyat.

  --BERNAMA

Source: bernama