Kota Marudu Member of Parliament

Keputusan Henrynus keluar PBS tak mengejutkan, kata SUA

Keputusan bekas setiausaha agung Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Henrynus Amin keluar parti adalah tidak mengejutkan, kata Setiausaha Agung (SUA) PBS Datuk Johnny Mositun.

Mositun berkata hakikat bahawa Presiden Kongres Kebangsaan Momogun (MNC) keluar dari PBS untuk menerajui Parti Kerjasama Rakyat Sabah (PAKAR) sebagai presiden juga tidak sama sekali tidak dijangka.

Bagaimanapun, Mositun berkata walaupun Henrynus mengumumkan telah keluar dari PBS, parti itu belum menerima surat rasmi perletakan jawatan beliau.

Mositun dalam satu kenyataan semalam mengesahkan bahawa Henrynus telah memaklumkan kepada beliau melalui WhatsApp bahawa surat rasmi perletakan jawatan akan diserahkan pada Selasa, 2 Mei tetapi surat itu belum diterima oleh ibu pejabat parti.

Pada Isnin, Henrynus mengumumkan melalui akhbar tempatan beliau telah menyandang jawatan sebagai presiden PAKAR dan melepaskan jawatannya dalam MNC dan juga keluar dari PBS yang beliau menjadi anggota sejak 1986.

Beliau memenangi kerusi parlimen Kinabalu (sekarang Ranau) pada 1995 atas tiket PBS dan menjadi setiausaha agung parti itu dari 2009 hingga 2013.

Beliau bertanding bagi jaswatan timbalan presiden pada pemilihan parti PBS yang lepas tetapi tewas kepada penyandang dan pemangku presiden sekarang, Datuk Dr Maximus Ongkili. Sejak itu, beliau tidak begitu menonjol dalam parti tetapi aktif sebagai anggota dan presiden pengasas Kongres Kebangsaan Momogun, sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang khusus memperjuanghkan nasib komuniti "Momogun"'

Mositun berkata PBS tidak terkejut dengan keputusan Henrynus keluar parti kerana beliau telah menjauhkan diri daripada kepimpinan PBS sejak digantikan sebagai setiausaha agung dan juga selepas gagal dalam usahanya untuk merebut jawatan timbalan presiden parti tiga tahun lalu.

Mositun berkata beliau bertanggungjawab untuk menarik perhatian bahawa beberapa perkara dalam kenyataan media yang dikaitkan dengan Henrynus perlu diperbetulkan terutama dakwaan bahawa PBS telah menyimpang daripada objektif asal pengasasnya.

"Jika Henrynus membayangkan bahawa PBS telah meninggalkan perjuangan atau menyimpang daripada objektif asalnya dengan menyertai semula Barisan Nasional dan bukan berjuang untuk kepentingan masyarakat Momogun, maka itu adalah mengelirukan dan tidak berasas sama sekali.

Beliau berkata Henrynus pernah menyandang pelbagai jawatan penting dalam PBS sepanjang kerjaya politik beliau termasuk Setiausaha Agung parti. - Bernama

Source: malaysiakini