Kota Marudu Member of Parliament

Musa sentiasa dengar suara rakyat

KOTA MARUDU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman adalah pemimpin yang perlu dicontohi atas kesungguhan beliau memastikan keperluan rakyat sentiasa dipenuhi.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata ini kerana Ketua Menteri sentiasa turun padang bertemu rakyat, sama ada di bandar mahu pun luar bandar dan pedalaman.

"Ketua Menteri sentiasa turun padang untuk bertemu rakyat peringkat akar umbi, sekali gus mengetahui sendiri masalah dan keperluan rakyat.

"Beliau juga adalah pemimpin yang sentiasa bersama rakyat tanpa mengira masa, tidak seperti pemimpin pembangkang yang hanya muncul sama ada di bandar atau kampung apabila tahu musim pilihan raya semakin hampir.

"Oleh itu, kami tanpa rasa belah bahagi menzahirkan sokongan kepada Ketua Menteri yang bekerja keras untuk meningkatkan nasib dan taraf hidup rakyat," katanya selepas Festival Kebudayaan Rungus di Kampung Teringai Laut di sini, hari ini.

Musa yang juga Menteri Kewangan Sabah merasmikan majlis itu yang dianjurkan Persatuan Rungus Bersatu Sabah. Turut hadir Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Masidi Manjun; Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Sukarti Wakiman; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tandek, Datuk Anita Baranting dan Pegawai Daerah Kota Marudu, Arnold Joibi.

Dalam perkembangan lain, Maximus berkata isu tuntutan tanah adat yang dibangkitkan penduduk tempatan membabitkan kawasan konsesi Lembaga Kemajuan Perhutanan Sabah (SAFODA) di sekitar Kampung Mangin, Tonsom dan Sungoi Darat juga sudah dibawa kepada perhatian Musa.

"Saya telah berbincang dengan Ketua Menteri dan beliau bersetuju menggunakan pendekatan geran komunal untuk menjalankan tanah adat yang telah dibangunkan oleh penduduk asal dan memenuhi syarat Ordinan Tanah," katanya.

Beliau berkata, Musa dalam jawapannya menegaskan bahawa keperluan rakyat akan sentiasa menjadi keutamaan kerajaan.

"Selain itu, beliau (Musa) juga mengakui potensi Pantai Teringai untuk dibangunkan sebagai destinasi pelancongan," katanya.

Source: bharian