Kota Marudu Member of Parliament

Semua Bahagian PBS Diarah Bersiap Sedia Untuk Pilihan Raya - Ongkili

PENAMPANG, 21 April (Bernama) -- Majlis tertinggi Parti Bersatu Sabah (PBS) hari ini mengarahkan semua bahagian parti itu bersiap sedia untuk pilihan raya.

Dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi PBS di sini, pemangku presiden parti Datuk Seri Dr Maximus Ongkili juga mengarahkan jentera pilihan raya di peringkat bahagian atau pusat mengundi ditubuhkan bagi menghadapi pilihan raya negeri atau pilihan raya umum yang akan diadakan pada bila-bila masa.

Beliau berkata semua bahagian PBS sedang mengadakan mesyuarat agung tahun masing-masing di peringkat cawangan.

"Cawangan-cawangan ini secara automatik perlu menubuhkan jentera sebagai persediaan untuk pilihan raya akan datang. Berdasarkan maklum balas dari akar umbi, PBS yakin dapat mempertahankan dan memenangi semua kerusi yang diperuntukkan kepada parti," kata beliau.

Beliau yang juga Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air berkata jentera pilihan raya PBS telahpun ditubuhkan di enam enam kerusi yang tewas iaitu Matunggong, Api-Api, Inanam, Kadamaian, Tamparuli dan Sri Tanjung bagi memastikan pengundi tidak mengulangi kesilapan yang sama.

Beliau berkata dalam tempoh empat tahun lepas, parti pembangkang tidak dapat membangunkan kawasan ini daripada segi pembangunan seperti dinikmati oleh kawasan pilihan raya yang diwakili Barisan Nasional.

"Pengundi telah menjadikan pengalaman itu sebagai pengajaran dan sekarang mahu menjadi sebahagian daripada arus pembangunan," kata anggota Parlimen Kota Marudu itu.

Terdahulu, Presiden dan pengasas PBS Tan Sri Joseph Pairin Kitingan mempengerusikan mesyuarat ketua-ketua biro parti.

-- BERNAMA

 

Source: bernama