Kota Marudu Member of Parliament

IKITIRAF BUGIS DAN JAWA SEBAGAI ANAK NEGERI: TANYA RAKYAT SABAH TERLEBIH DAHULU- PBS

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) memberi amaran kepada Kerajaaan negeri pimpinan Warisan agar jangan “bermain” dengan Ordinan Negeri bagi tujuan politik mereka.

“Jangan sentuh Ordinan Negeri terutama yang melibatkan definisi Anak Negeri hanya demi kepentingan politik,” kata presiden PBS Datuk Seri Dr Maximus Ongkili mengulas kenyataan Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Datuk Aidi Moktar mengenai cadangan menyerapkan suku Bugis dan Jawa sebagai Anak Negeri Sabah.

Dr Maximus yang juga timbalan presiden KDCA berkata isu ini amat sensitif dan satu kajian yang menyeluruh disamping mendapat pandangan dari akar umbi harus diadakan.

“Kita meminta agar Warisan membuat satu referendum bagi mendapatkan pandangan dan suara dari semua rakyat Sabah mengenai hal ini,” katanya.

Beliau bersetuju dengan pandangan bahawa keturunan Bugis dan Jawa yang berada di sini sebelum pembentukan Malaysia layak mendapat taraf warganegara namun bukan Anak Negeri.

“Dengan tidak memandang rendah kepada seluruh rakan-rakan saya dan juga ipar yang berketurunan Bugis dan Jawa, saya katakan mereka bukanlah Anak Negeri Sabah,” katanya.-SabahNewsToday