Kota Marudu Member of Parliament

PBS AKAN BAWA ISU PTI SABAH KE PLATFORM ANTARABANGSA

PENAMPANG: Parti Bersatu Sabah (PBS) bercadang mengangkat isu pendatang tanpa izin (PTI) Sabah ke peringkat antarabangsa sekiranya Kerajaan Persekutuan masih berdolak  dalih dalam mencari penyelesaian muktamad.

Presiden Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata tindakan drastik perlu diambil oleh Kerajaan Persekutuan dalam hal pembersihan PTI di Sabah.

“Kita telah mengwujudkan Biro tentang PTI dalam parti. Melalui biro ini kita akan membuat satu memorandum yang akan diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan dan Negeri.

“Saya berpendapat Sabah adalah untuk orang Sabah, kemudian barulah untuk rakyat asli Malaysia. PTI harus ditangkap dan dihantar balik ke negara masing-masing.

“Tindakan mestilah diambil mengikut undang-undang,” katanya selepas menyaksikan majlis angkat sumpah ahli majlis tertinggi PBS bagi penggal 2018-2021 di ibupejabat parti di Donggongon di sini pada Jumaaat.

Menurutnya, selama ini PBS telah membuat banyak representasi mengenai perkara tersebut.

“Kita telah ke mahkamah, membuat laporan polis, pergi ke Jabatan Pendaftaran, Jabatan Imigresen dan bermacam lagi. Cukup sudah dan kita telah bersuara lebih dari cukup namun masih belum ada tindakan yang memuaskan diambil,” katanya.

Dr Maximus berkata PBS bercadang untuk menjadi penganjur bersama beberapa forum sert seminar antarabangsa berkenaan ancaman PTI terhadap keselamatan negara dan juga rakyat Sabah.

“Kita juga akan membuat penulisan agar masyarakat antarabangsa tahu apa yang sedang berlaku diperingkat akar umbi.

“Untuk ini satu kumpulan kerja akan diwujudkan melibatkan ahli profesional antarabangsa ataupun orang Sabah yang berada di luar negara dan pernah menulis dan menyiarkan topik ini,” katanya.

Dr Maximus berkata PBS akan meneruskan fokus terhadap empat isu utama iaitu mempromosikan politik berbilang kaum dan perpaduan rakyat Sabah memandangkan PBS adalah satu-satunya parti tempatan yang merupakan parti berbilang kaum.

Isu kedua adalah PBS akan terus bercakap tentang kebebasan berugama, kebebasan memilih persatuan manakala yang ketiga adalah soal keselamatan Sabah.

Fokus PBS yang keempat adalah berjuang mendapatkan kesemua hak Sabah seperti yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963

Pada masa yang sama, kekuatan akar umbi PBS akan diperhebatkan melalui pengambilan ahli baharu, pengukuhan cawangan-cawangan dan peringkat bahagian selain menambahbaik sistem pangkalan data di ibu pejabat parti dan sebagainya, katanya.

“Sudah tentulah tugas pertama kami sekarang ialah untuk terus bersuara bagi rakyat dan meminta kerajaan Persekutuan atau negeri untuk memenuhi janji-janji dalam manifesto pilihanraya mereka,” katanya.

Katanya kesemua wakil-wakil rakyat PBS akan menyuarakan hal-hal rakyat dan keperluan mereka di Dewan Undangan Negeri dan pada masa sama bekerjasama dengan Kerajaan.

“Kita ambil sikap positif, kita akan sokong apa yang baik dan bagus untuk rakyat tetapi kita akan terus bersuara, mengkritik sekiranya ada benda tidak betul sedang berlaku,” katanya.

“PBS akan terus menjadi mesra kerajaan dalam perkara yang baik untuk rakyat tetapi PBS akan membantah sehabisnya tentang perkara yang tidak membawa manfaat kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu, Dr Maximus gembira dan menyifatkannya satu petanda baik memandangkan ramai di kalangan AMT bagi penggal baharu ini adalah dari generasi muda.-SabahNewsToday