Kota Marudu Member of Parliament

UCAPAN DASAR TIMBALAN PRESIDEN PARTI BERSATU SABAH, MERANGKAP AHLI PARLIMEN P168 KOTA MARUDU DAN KETUA BAHAGIAN PBS N5 TANDEK YB DATUK SERI PANGLIMA DR MAXIMUS JOHNITY ONGKILI

UCAPAN DASAR TIMBALAN PRESIDEN PARTI BERSATU SABAH, MERANGKAP AHLI PARLIMEN P168 KOTA MARUDU DAN KETUA BAHAGIAN PBS N5 TANDEK
YB DATUK SERI PANGLIMA DR MAXIMUS JOHNITY ONGKILI SEMPENA MESYUARAT AGUNG TAHUNAN PARTI BERSATU SABAH
BAHAGIAN N5 TANDEK KALI KE-33

(SALUTATIONS)

01. Terlebih dahulu, marilah kita memberi kesyukuran kepada Tuhan yang Maha Kuasa kerana dengan berkat dan restunya kita dapat mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Parti Bersatu Sabah Bahagian N5 Tandek kali ke-33 pada hari ini.

02. Ucapan tahniah dan syabas juga saya tujukan kepada Pengerusi Jawatankuasa Penganjur serta semua ahli-ahli jawatankuasa yang telah bekerja bersungguh-sungguh untuk mempastikan mesyuarat kita pada hari ini berjalan dengan jayanya. Ucapan terima kasih juga saya tujukan kepada Timbalan-Timbalan Presiden, ahli-ahli Majlis Tertinggi, Ketua-Ketua Bahagian, para perwakilan dan pemerhati kerana masih kekal bersama-sama PBS sepanjang 33 tahun. Komitmen anda amat dihargai dan bersama kita akan terus memartabatkan perjuangan PBS.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

MESYUARAT BERSEJARAH DAN SIGNIFIKAN

03. Selepas tiga dekad berjuang melalui Parti Bersatu Sabah, mesyuarat agung tahunan yang ke-33 tahun ini sememangnya satu pencapaian yang patut dibanggakan.

04. Mesyuarat ini amat bersejarah dan signifikan bagi kita semua, terutama sekali selepas menang dengan bergaya di kawasan Parlimen P168 Kota Marudu dan N5 Tandek, serta menawan kembali kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N4 Matunggong dari pihak lawan. Ini adalah pencapaian yang patut dibanggakan, hasil kerjasama dari semua ahli PBS di setiap peringkat, telah memastikan kemenangan kita di ketiga-tiga kawasan ini. Bagi saya, secara peribadi, kemenangan kali ini menjadikan saya Ahli Parlimen untuk penggal ke-enam, iaitu sejarah bagi PBS di kawasan ini.

05. Dengan rendah diri, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih yang terhingga kepada semua penyokong PBS, serta pengundi-pengundi yang telah membuat keputusan yang betul pada PRU14 lalu. Keyakinan anda kepada calon PBS di kawasan parlimen Kota Marudu, dan kawasan DUN Tandek dan Matunggong amat kami hargai. Kemenangan 3-0 di Kota Marudu pada pilihanraya lalu membuktikan PBS kekal relevan dan kuat di tiga kawasan ini.

06. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada kepimpinan atasan PBS, terutama sekali Presiden Parti Bersatu Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, berserta rakan-rakan seperjuangan saya iaitu Ahli Majlis Tertinggi (AMT) PBS, di atas sokongan mereka kepada Bahagian PBS N5 Tandek dan saya, sebagai Timbalan Presiden parti ini.

SEJARAH POLITIK SABAH SELEPAS PRU14

07. Di peringkat negeri pula, komponen parti di bawah Barisan Nasional (BN) telah memperolehi kemenangan selepas Parti STAR mengambil keputusan untuk berjuang bersama kita di persada politik. Kita juga telah menubuhkan kerajaan, ketua menteri dan menteri kabinet Sabah telah mengangkat sumpah. Tetapi, malangnya, sikap tamak pihak Parti UPKO telah menjadikan kita pembangkang. Kita telah dikhianati. Pengkhianatan inilah yang telah menjadikan kita pihak yang bukan memerintah. Mereka yang telah meninggalkan kita sepatutnya merasa malu atas perbuatan mereka. PBS, dengan ini, mendesak UPKO untuk mengosongkan kerusi yang dimenangi mereka dengan menggunakan tiket Barisan Nasional.

08. Secara dasarnya, di peringkat negeri, kita telah berjaya memperolehi kepercayaan majoriti rakyat semasa Pilihanraya ke-14 (PRU14) pada bulan Mei lalu. Tapi akibat pengkhianatan beberapa ahli dewan undangan negeri (ADUN), Sabah, kini, berada di bawah pentadbiran Parti Warisan, dan mereka telahpun menubuhkan kerajaan, mengangkat sumpah ketua menteri dan menteri kabinet yang baharu. Akan tetapi, status kerajaan pimpinan Parti Warisan dicabar di mahkamah.

09. Kesahihan kerajaan ‘baharu’ yang diketuai Parti Warisan masih belum disahkan lagi kerana kerajaan ‘lama’ yang diketuai oleh Tan Sri Musa Aman telah memfailkan saman bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa beliau kekal sebagai Ketua Menteri yang sah mengikut peruntukkan undang-undang, selain mendakwa pengakuan sumpah ketua menteri kini Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri oleh Yang di-Pertua Negeri pada 12 Mei lalu adalah tidak berperlembagaan dan tidak sah.

10. Di peringkat nasional pula, Parti Harapan telah menumbangkan Barisan Nasional. Keadaan amat tidak menentu pada masa ini. Namun kita harus bersikap sabar dan meneliti keadaan semasa. Parti Harapan masih bersandarkan manifesto 100 hari pilihanraya mereka, dan kita masih menanti perubahan yang dijanjikan. Buat masa ini, kepentingan parti dan penyokong kita haruslah diutamakan dan dilindungi. Kita semua harus steady, BERSATU dan jangan lari.

Tuan-tuan, puan-puan, rakan-rakan dalam PBS sekalian,

PARTI HARAPAN DAN JANJI-JANJI PRU14

11. Seperti yang telah saya nyatakan awal tadi, keadaan Malaysia pada masa ini amat kucar-kacir. Keadaan di peringkat nasional belum tenteram dan stabil. Pergolakan dalaman Parti Harapan masih hebat dan mereka berhadapan dengan bermacam-macam andaian. Dalam tempoh tiga bulan pertama pentadbiran kerajaan baharu ini, menteri-menteri kabinet dan pemimpin atasan tidak habis-habis mengeluarkan kenyataan yang sengaja memburukkan kepimpinan lama, walaupun kebanyakan kenyataan ini tidak masuk akal dan mengaibkan negara dimata dunia. Tanggungjawab sesebuah kerajaan ialah untuk menjaga nama baik negara, bukan memburukkan status negara tersebut di kalangan pemimpin dunia.

12. Janji 100 hari yang diuar-uarkan semasa PRU14 nampaknya hanya retorik semata-mata. Ia diutarakan sekadar untuk memancing undi. Manifesto Parti Harapan janji BUYUK! Antaranya janji-janji mrreka ialah memansuhkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), pemansuhan bayaran tol dan cukai GST, namun ini hanyalah sebahagian taktik parti lawan untuk meraih undi dari golongan muda di negara kita. Baru-baru ini lagi tomahan palsu mengenai hutang negara sebanyak RM1 Trillion (satu trillion ringgit) dan kehilangan wang pungutan GST, yang mana pihak kerajaan baharu menuduh kerajaan lama melesapkan wang ini untuk kegunaan peribadi. Tuduhan ini meleset sekali dan ini bakal dibuktikan kelak. Hutang negara kita sebenarnya berjumlah RM500 billion (500 billion ringgit) sahaja, dan ini telah disahkan oleh pihak bertaraf antarabangsa.

Hadirin sekalian,

STATUS TERKINI PBS

13. Pada 12 Mei tahun ini, Presiden PBS Tan Sri Joseph Pairin Kitigan, setelah persetujuan bersama pemimpin atasan PBS, telah membuat keputusan keluar daripada BN untuk menerajui landasan politik baharu untuk semua parti yang sehaluan di Sabah. Di Malaysia Timur, kesemua parti-parti komponen BN telah meninggalkan BN, dan kini, hanya UMNO, MCA dan MIC yang masih kekal sebagai parti komponen BN.

14. Kita dalam PBS telah membuat keputusan untuk mengambil kedudukan bebas untuk menguatkan parti dan membuat gabungan dan kerjasama dengan parti-parti tempatan Sarawak. Kita juga telah menubuhkan Gabungan Bersatu dan akan meneruskan perjuangan ini bersama rakan-rakan sejawat kita di Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) pimpinan Tan Sri Joseph Kurup, dan kemungkinan juga Parti STAR, yang dipimpin oleh Datuk Dr Jeffrey Kitingan, dan parti-parti lain yang sealiran dengan moto perjuangan kita, iaitu melindungi hak-hak negeri Sabah dan rakyat Sabah di dalam Malaysia.

Hadirin sekalian,

PERJUANGAN BELUM SELESAI

15. Perjuangan PBS murni. Perjuangan kita telah teruji dan diperakui telus, Keupayaan PBS untuk bertahan selama tiga dekad membuktikan kita telah berusaha melakukan yang terbaik untuk mempertahankan kepentingan penyokong kita, terutama sekali hak-hak rakyat Sabah, seperti yang telah termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963, ataupun Malaysia Agreement 1963 (MA63). Namun kita tidak seharusnya merasa selesa, sehinggakan kita lupa asas dan objektif perjuangan parti kita. Kita tidak seharusnya bermegah kerana mampu kekal relevan sehingga kini. Kita perlu terus mengingatkan diri kita bahawa semua ini adalah kerana sokongan dari setiap ahli dan masyarakat di akar umbi. Kita harus mengingatkan diri kita masing-masing yang perjuangan kita ini belum selesai. Pembangunan harus diteruskan, demi kebaikkan rakyat di negeri, khususnya kawasan ini.

16. Kita juga harus terus berusaha untuk mempertahankan objektif perjuangan PBS selama ini. Antaranya ialah mengembalikan kedaulatan negara kita melalui pembanterasan tetamu yang tidak diundang, iaitu golongan pendatang tanpa izin (PATI), yang semakin berleluasa di negeri kita. Isu-isu lain seperti pemilikan tanah adat melalui geran komunal dan penyukatan tanah dibawah program PANTAS juga perlu diperjuangkan.

Tuan-tuan dan puan-puan,

17. Kerajaan baharu telah membatalkan pemberian geran tanah komunal yang diwujudkan oleh kerajaan BN. Pemberian geran komunal memberi peluang kepada masyarakat tempatan, terutama sekali di kawasan luar bandar, untuk memiliki tanah secara berkelompok. Namun ini dilihat sebagai satu bebanan bagi kerajaan pimpinan Parti Warisan, dan kemungkinan taktik mereka untuk memberikan tanah kepada mereka-mereka yang tidak berkelayakan, iaitu orang-orang asing atau PATI.

18. Selain daripada ini, kita juga harus terus memperjuangkan pembangunan ekonomi yang seimbang di negeri Sabah, khasnya di luar bandar. Perancangan dan pembangunan projek-projek besar yang dilakukan oleh BN seperti Pan Borneo dan pengembalian kuasa Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) kepada kerajaan negeri, serta pengagihan kuasa diantara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri di Malaysia seharusnya diketengahkan. Ini adalah hak kita. Hak negeri Sabah.

Hadirin sekalian,

PENUTUPAN

19. Perjuangan kita belum berakhir. Perjalanan politik PBS masih jauh ke hadapan dan cabaran yang bakal kita hadapi akan menjadi lebih sengit. Kita akan berhadapan dengan pelbagai cabaran dan pengalaman baharu. Yang pasti, bakal pemimpin muda PBS akan menghadapi perjalanan politik yang berwarna-warni. Nasihat saya, rebutlah peluang ini untuk mempersiapkan diri anda untuk cabaran di masa hadapan, jangan biarkan ia sia-sia. Perjuangan kita murni dan perjuangan sememangnya telus, dan ini dibuktikan dengan sokongan dari setiap penyokong di akar umbi dari pelbagai kaum. PBS akan kekal selamanya, berkat kesungguhan pemimpin pada masa kini. Jangan berhenti berharap dan jangan putus asa.

20. Pemimpin PBS ada pemimpi yang bertanggungjawab. Walaupun masa depan kita masih tidak menentu, tapi kita harus memastikan perjuangan kita telus dan matlamat yang jelas. Pemimpin PBS tidak pernah merancang membawa para penyokong ke ‘neraka politik’. Malahan kami sebenarnya mengejar ‘syurga’ yang ada di tanah Sabah, iaitu perpaduan, kemakmuran, hak-hak negeri Sabah seperti termaktub dalam MA63, keselamatan dan asas kebebasan.

21. Tetapi, tuan-tuan dan puan-puan, kita mesti berhati-hati dalam memilih perjalanan masa depan kita, Pastikan ia tindakan yang wajar, teliti dan bijak. Kita perlu bertenang dan bertindak tegas dan berdaya tahan. Kita tidak seharusnya merasa takut dan berlumba dengan pihak yang salah yang hanya mementingkan kemahuan dan faedah politik peribadi.

22. Apa saja laluan masa depan yang kita pilih untuk PBS, ia seharusnya berpaksikan matlamat yang menjanjikan faedah jangka panjang buat ahli dan parti kita. Kita telah pernah merasakan keadaan sekarang, apabila kita dijadikan parti pembangkang oleh individu-individu yang mengejar kepentingan peribadi mereka. Senario sebaga parti pembangkan bukanlah baharu buat PBS. Namun, pengalaman lalu merupakan pengajaran bagi kita semua dan ia membuatkan kita menjadi lebih kuat.

23. Satu hari kelak, kita akan kembali dalam sistem kerajaan, tetapi kita haruslah melakukannya dengar cara bermaruah dan hormat. Ia harus dilakukan demi kepentingan ahli PBS keseluruhan, bukan hanya untuk PBS Tandek. Dan percayalah, saya TIDAK akan tinggalkan kamu di Kota Marudu, mahupun mengabaikan perjuangan Parti Bersatu Sabah sekadar untuk kepentingan diri sendiri!

24. Saya amat menghargai semua sokongan AJK Bahagian N5 Tandek sepanjang tahun ini. Kerjasama dan pengorbanan Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Wanita, serta semua ahli PBS di Bahagian Tandek amat berharga. Kita adalah sebuah keluarga yang besar dan ianya harus kekal begini selamanya. Saya percaya dengan kesungguhan kita untuk kekal bersama bagi meneruskan perjuangan mulia dan berusaha keras, kita akan menuai hasil kerja kita dan menikmati masa depan yang baik. Bak kata pepatah: “bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian". Saya percaya, kemenangan mutlak milik kita di dalam PBS.

24. Kita tidak seharusnya lelah dalam perjuangan parti kita, demi kebaikkan rakyat dan negeri Sabah yang kita sayangi. Walaupun banyak rintangan yang akan melanda, kita harus memastikan kita tidak lari dari landasan perjuangan parti. Ketidaksempurnaan yang ada di dalam parti kita haruslah diperbaiki, dan segala cabaran haruslah ditempuhi dengan tabah.

25. Dengan kata-kata ini, marilah kita bersama-sama melaungkan slogan parti kita.

BERSATU! BERSATU! BERSATU! dan JANGAN LARI!

Sekian, terima kasih.